Kejohanan Dunia BWF: Zii Jia Kandas Di Pusingan 64

August 25, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Penampilan sulung bekas perseorangan badminton lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia di kejohanan kompetitif selepas rehat panjang berikutan kecederaan buku lali pada kaki kirinya berakhir dengan kekalahan.

Zii Jia yang kali terakhir dilihat beraksi pada perlawanan kompetitif sekitar pertengahan Mac lalu mengalami kekalahan ketika turun menentang wakil Republik Korea, Jeon Hyeok Jin pada pusingan 64 di Kejohanan Dunia BWF 2025, sebentar tadi.

Pertarungan yang berlangsung di Adidas Arena itu menyaksikan Zii Jia tewas di tangan pemain yang menduduki ranking 38 dunia terbabit secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 11-21 dalam masa 41 minit.

Sebelum mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia kali ini, Zii Jia yang berada di ranking 52 dunia memaklumkan tidak akan memberikan tekanan yang tinggi terhadap diri sendiri dalam ketika beraksi dalam kejohanan ini.

Sasarannya adalah menikmati kepulangan semula ke gelanggang perlawanan serta menamatkan kempen Kejohanan Dunia tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu, Hyeok Jin yang melakar kemenangan dapat meneruskan kemaraannya ke pusingan 32 dan menantinya di situ ialah Yushi Tanaka, perseorangan lelaki No.4 Jepun.

Pemain berusia 25 tahun itu mara selepas mengejutkan pemain No.4 dunia dari China, Li Shi Feng menerusi tiga set permainan berskor 19-21, 21-11 dan 21-15 dalam masa satu jam dan 11 minit.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd