Kejohanan Dunia BWF: Arif-Roy King Langkah Kanan, Beregu No.1 Thailand Menanti
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.4 negara, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King berhasil memulakan kempen Kejohanan Dunia BWF 2025 dengan langkah kanan sekaligus mengesahkan kemaraan ke pusingan 32.
Gandingan pemain berusia 23 dan 24 tahun masing-masing itu menjelmakan langkah kanan itu dengan menumbangkan beregu Jepun, Kenya Itsuhashi dan Hiroki Okamura yang berada di tangga 34 dunia.
Dalam pertarungan tersebut, Arif-Roy King hanya memerlukan masa 27 minit sahaja untuk menumpaskan Itsuhashi-Okamura menerusi skor 21-5 dan 21-13.
Hasil kemenangan itu, Arif-Roy King akan berhadapn dengan lawan yang lebih mencabar iaitu gandingan Dechapol Puavaranukroh dan Kittinupong Kedren yang menduduki ranking 12 dunia.
Lawannya itu melangkah ke pusingan 32 secara percuma susulan mendapat ‘bye’ di pusingan 64.
Berdasarkan rekod, Arif-Roy King belum pernah berentap menentang gandingan dari Thailand tersebut dan ianya bakal menjadi pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia