CEO NSFC Ambil Maklum Aduan-Aduan Di Stadium Tuanku Abdul Rahman

August 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kehadiran 25,550 penonton menyaksikan pertembungan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC (SFC) telah memeriahkan dan menggamatkan semula Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi – sepi sekian lama.

Rekod kehadiran itu bukan sahaja menyemarakkan semangat para pemain untuk bangkit melakar kemenangan ke atas Selangor FC dengan keputusan 2-1 bahkan turut membuatkan para penyokongnya mengimbau semula tempoh dimana skuad berjulukan The Jangs itu pernah berada di puncaknya.

Namun begitu, disebalik kemenangan dramatik dan epik yang membuatkan penyokong NSFC melompat kegembiraan, terdapat juga pengalaman yang kurang memuaskan dialami oleh para penonton yang hadir ke stadium. 

Antara aduan yang dilontarkan adalah pengimbasan tiket yang tidak efisien, jumlah pintu masuk dan keluar yang dibuka tidak memadai, waktu kemasukan ke dalam stadium serta isu kemasukan di ‘grandstand’.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus mengakui kekurangan di pihaknya serta ambil maklum terhadap aduan-aduan yang dilontarkan dan berusaha untuk membuat penambahbaikan pada perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Semua aduan ini sedang diteliti agar semua dapat ‘matchday experience’ yang lebih baik.”

“Kita akan membuat penambahbaikan untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang.” katanya menerusi satu hantaran sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton yang hadir di akaun Facebook peribadinya.

Tinjauan di ruangan komen turut memperlihatkan beberapa komen daripada penyokong mengharapkan kemudahan asas seperti tandas dan surau ditingkatkan lagi. Tidak kurang juga yang meminta agar stadium yang berada di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) itu dipercantikkan semula.

Pada Jumaat ini, Stadium Tuanku Abdul Rahman akan menantikan kunjungan Kuching City FC bimbingan Aidil Sharin Sahak bagi aksi keempat Liga Super. 

Menerusi satu hantaran di pelbagai platform media sosial, pihak kelab memaklumkan sebanyak 1,142 keping tiket bagi perlawanan tersebut telah terjual setakat jam 9 pagi tadi.

Featured Image: Negeri Sembilan FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd