Kejohanan Dunia BWF: Jun Hao Melangkah Ke Pusingan 32 Bertemu Kenta Nishimoto
Hafiz Omar

Leong Jun Hao menjadi wakil tunggal negara yang akan beraksi di pusingan 32 bagi sektor perseorangan lelaki Kejohanan Dunia BWF 2025 selepas menumpaskan pemain Hong Kong, Tobias Kuenzi.
Pemain berusia 26 tahun dan menghuni ranking 25 dunia itu melakar kemenangan tersebut ketika turun beraksi di pusingan 64 bertempat di Arena Adidas, sebentar tadi.
Jun Hoa berhasil melakar kemenangan bergaya ke atas Kuenzi yang berada pada ranking 137 dunia itu secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-14 dalam masa 31 minit sahaja.
Susulan kemenangan itu, Jun Hao akan meneruskan kempennya bertemu wakil Jepun, Kenta Nishimoto yang diletakkan selaku pilihan ke-14 kejohanan untuk merebut tiket ke pusingan 16.
Terdahulu, perseorangan lelaki No.2 negara matahari terbit itu mara selepas mengatasi cabaran daripada pemain Chinese Taipei, Wang Tzu Wei.
Kenta turut melakar kemenangan bergaya secara “straight set” iaitu menerusi skor 21-13 dan 21-12 dalam masa 40 minit.
Berdasarkan rekod, Jun Hao dan Kenta pernah bertembung sebanyak lima kali sebelum ini dan tiga daripadanya berhasil dimenangi oleh Jun Hao termasuk aksi terakhir yang berlangsung di Terbuka China 2025, baru-baru ini.
Sebagai tambahan, Jun Hao menjadi wakil tunggal negara ke pusingan 32 bagi kategori berikutan seorang lagi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tumpas di tangan pemain Republik Korea, Jeon Hyeok Jin.
Featured Image: Thailand Open