Pemegang Kad Visa Diberi Keutamaan Untuk Rebut Tiket Piala Dunia FIFA 2026
Hafiz Omar

Peneraju dunia dalam pembayaran digital, Visa menawarkan sesuatu yang istimewa buat peminat bola sepak melibatkan saingan Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada & Mexico.
Visa, Rakan Teknologi Pembayaran Rasmi FIFA, memaklumkan para pemegang kad Visa samada kad Debit, kad Kredit mahupun kad prabayar tambah nilai berpeluang untuk menjadi kelompok awal membuat pembelian tiket bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan bagi pertandingan bola sepak yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.
Untuk makluman, jualan tiket Piala Dunia FIFA 2026 akan dilakukan menerusi beberapa fasa dimana fasa pertamanya, Cabutan Prajualan Visa, akan berlangsung bermula dari 10hb hingga 19hb September kelak.
Pemegang kad Visa yang memohon untuk menyertai Cabutan Prajualan Visa akan mendapat akses awal eksklusif untuk menyertai cabutan – proses pemilihan rambang yang memberi peluang kepada peserta terpilih untuk membeli tiket sebelum jualan tiket dibuka kepada umum.
Pemegang kad yang berminat memerlukan ID FIFA untuk menyertai Cabutan Prajualan dan digalakkan untuk mengunjungi FIFA.com/tickets pada hari ini untuk mencipta ID masing-masing sekiranya belum berbuat demikian.
Mereka yang terpilih untuk membeli tiket menerusi Cabutan Prajualan Visa akan dimaklumkan melalui e-mel bermula 30hb September dan diberikan slot masa khusus pada bulan Oktober untuk membeli tiket yang disediakan atas dasar ‘siapa cepat dia dapat’.
Sebagai kaedah pembayaran rasmi tiket FIFA, Visa akan menjadi kaedah pembayaran eksklusif yang diterima dalam tempoh pembelian prajualan.
Saingan Piala Dunia FIFA 2026 dijadualkan berlangsung 11hb Jun hingga 19hb Julai 2026 melibatkan 16 bandaraya tuan rumah dari tiga negara. Bertambah menarik, edisi ke-23 ini akan menampilkan penglibatan 48 buah pasukan buat julung kalinya dalam sejarah sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1930.