Misi Wajib Menang Lawan Terengganu FC – Katsuhito Kinoshi

August 27, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menegaskan kepada anak-anak buahnya misi wajib menang ke atas Terengganu FC malam ini bagi menebus semula kekalahan tempoh hari.

Kekalahan 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super Ahad lalu nyata mengecewakan skuad Gergasi Merah lebih-lebih lagi dihukum ketika minit-minit akhir perlawanan.

Justeru, Kinoshi mahu barisan pemain tampil lebih bersedia apatah lagi bertemu Terengganu FC yang dalam momentum terbaiknya selepas mencetak kemenangan besar ke atas DPMM FC.

Apa yang pasti, selaku tuan rumah, jurulatih berusia 60 tahun itu mengharapkan keputusan positif dapat diraih dan enggan keciciran mata lagi dimana hal itu boleh menyebabkan Selangor FC yang menduduki tangga ketujuh liga semakin ketinggalan.

“Kita perlu bersedia dengan lebih baik, dengan lebih rapi kerana selepas kekalahan tempoh hari, banyak yang perlu ditambahbaik.”

“Untuk kembali menjadi pasukan Selangor FC seperti sebelum ini, kita kena kembali menang dan semua faham tanggungjawab masing-masing untuk melakukan persiapan terbaik lawan Terengganu FC.”

“Selepas beberapa perlawanan yang kita harungi, setakat ini tiada kecederaan yang teruk menimpa pemain, hanya yang biasa sahaja dan kita akan terus awasi kecergasan mereka,” katanya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super, Selangor FC hanya merekodkan satu kemenangan iaitu ketika melayani kunjungan DPMM FC di halamannya sendiri dengan keputusan 3-0.

Melihatkan kepada rekod musim lalu, Selangor FC bertemu Terengganu FC sebanyak empat kali dan tiga daripadanya berhasil dimenangi oleh Gergasi Merah termasuk perlawanan “home” dan “away” dalam aksi Liga Super.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd