Hein Htet Aung Pemain Import Ke-10 Kelantan TRW

August 28, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang skuad kebangsaan Myanmar yang pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia, Hein Htet Aung sah menjadi pemain import kesepuluh buat Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW).

Penyertaan pemain berusia 23 tahun tersebut disahkan menerusi pengumuman perpisahan oleh kelabnya, Yangon United FC – kelab yang baru sahaja disertainya sekitar penghujung Julai lalu.  

Pada masa yang sama, Presiden Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa turut mengesahkan penyertaan pemain itu menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya.

“Yangon United dan penyerang skuad kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung, yang menyertai kelab pada awal musim, telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak dan berpisah hari ini (Ahad).”

“Kelab Malaysia, Kelantan (TRW) telah membuat tawaran kepada Hein Htet Aung sebagai pengukuhan skuad mereka bagi (perlawanan) pertandingan seterusnya.”

“Dengan perkembangan karier dan peluang masa depan pemain, Yangon United telah memberi sokongan penuh kepada Hein Htet Aung (untuk) mengambil langkah seterusnya dalam karier profesionalnya.”

“Yangon United mengambil peluang untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Hei Htet Aung untuk karier masa depannya dan berharap beliau dapat mempamerkan prestasi terbaik bersama kelab baharunya.” tulis kenyataan daripada kelab yang menghuni tangga kedua Liga Kebangsaan Myanmar itu.

Tempoh pendek bersama Yangon United itu menyaksikan Htet Aung sempat melakukan dua penampilan iaitu ketika bertemu Ezra FC dari Laos dalam peringkat kelayakan Liga Cabaran AFC selain menentang Yadanarbon FC pada aksi pembukaan liga domestik.

Htet Aung yang pernah beraksi bersama Selangor FC dan Negeri Sembilan FC, secara pinjaman, sememangnya termasuk dalam senarai pemain yang ingin ditandatangani oleh Kelantan TRW pada jendela perpindahan musim ini.

Perancangan itu telah pun didedahkan oleh Annuar sebelum ini. Namun begitu, kejutan berlaku apabila nama Htet Aung tiba-tiba diumumkan sebagai pemain baharu Yangon United sekaligus menyaksikan Kelantan TRW memulakan kempen Liga Malaysia musim ini dengan sembilan pemain import sahaja.

Bagaimanapun, selepas berlangsungnya empat perlawanan, Annuar sekali lagi mendedahkan akan menandatangani seorang lagi pemain import dari rantau ASEAN bagi menambahkan kekuatan Kelantan TRW.

Featured Image: Yangon United Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd