Kejohanan Dunia BWF: Pang Ron-Su Yin Cipta Kejutan Ke Suku Akhir
Hafiz Omar

Beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Sui Yin mencipta kejutan ke atas pilihan keenam kejohanan, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai untuk melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia BWF 2025.
Pasangan yang menghuni ranking ke-16 dunia itu bermula dengan kekalahan 13-21 di set pertama namun berhasil bangkit di set kedua menerusi skor 23-21 untuk membawa permainan ke set penentuan.
Pada set seterusnya, Pang Ron-Su Yin meneruskan rentak permainannya dan mengakhirinya dengan skor 21-17 sekaligus meraih tiket ke suku akhir selepas bertarung selama 55 minit di Gelanggang 3, Arena Adidas.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan sulung Pang Ron-Su Yin ke atas Soon Huat-Shevon selepas tumpas pertemuan pertama yang berlangsung di Terbuka Artik 2024.
Berikutan kemenangan ini, Pang Ron-Su Yin akan meneruskan kempen Kejohanan Dunia BWF dengan bertemu pasangan No.2 dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin untuk merebut tiket ke separuh akhir.
Semakan rekod menyaksikan kedua-duanya pernah bertembung sebanyak empat kali. Bagaimanapun, tiga daripadanya yang berlangsung di Terbuka Australia 2024, Terbuka Denmark 2024 dan Terbuka Jepun 2025 berpihak kepada Zhen Bang-Ya Xin.
Hanya satu kemenangan pernah dilakar Pang Ron-Su Yin iaitu di Masters China 2024 menerusi skor 16-21, 21-14 dan 21-19.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia