Bubbles O2 Rakan Perniagaan Baharu Terengganu FC
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC menambah satu lagi rakan perniagaan baharu selepas mengumumkan kerjasama strategik bersama Bubbles O2 – pengeluar air mineral semulajadi beroksigen.
Jenama air mineral itu menyertai barisan rakan strategik Terengganu FC selepas kedua-duanya menandatangani kerjasama dalam satu majlis yang berlangsung pada Khamis.
Perkembangan ini juga menandakan langkah positif pihak pengurusan kelab dalam mempelbagaikan peluang perniagaan serta memperkukuhkan kedudukan jenama kelab bukan sahaja di dalam padang malah luar padang.
Untuk makluman, ini merupakan jenama kedua dibawa masuk oleh Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai sejak bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC bermula 16hb Ogos lalu – selepas Ice Power.
“Kerjasama ini adalah sebagai langkah buat TFC untuk menuju era baharu di mana kelab ini perlu diuruskan secara profesional yang bukan sahaja menambah nilai komersial dan kewangan kelab tetapi turut memberikan nilai tambah buat para penaja menerusi pelbagai aktiviti bersama penyokong.
“Walaupun fokus utama kami sebagai kelab bola sepak adalah keputusan di atas padang, tetapi kami juga mahu kelab ini bergerak secara mandiri di luar padang menerusi peluang-peluang perniagaan dan penajaan bagi memastikan kewangan yang mapan di masa hadapan,” ujar Sheikh Farouk ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman.
Majlis tandatangan kerjasama strategik itu turut disulami dengan lawatan rasmi daripada pihak pengurusan Terengganu FC bersama-sama Exco Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC ke kilang Bubbles O2 di Negeri Sembilan sebagai simbolik kepada permulaan kepada kerjasama ini.
Bubble O2 yang mula ditubuhkan pada tahun 2018 menyaksikan jenamanya semakin berkembang pesat terutamanya dalam melibatkan diri dalam arena sukan tempatan.
Selain Terengganu FC, Bubbles O2 juga merupakan Rakan Rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (MAAM) dan program Road To Gold (RTG) dan Rakan Rasmi National Baseball League (NBL). Selain itu, mereka turut terlibat dalam pertandingan dan kejohanan berprestij tanah air seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Malaysian Football League (MFL).