Cklamovski Panggil Sergio Aguero, Richard Chin Sertai Skuad Kebangsaan

August 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Nama pemain tengah menyerang kelahiran Argentina yang mempunyai kerakyatan Malaysia, Sergio Aguero kembali tersenarai dalam panggilan ke skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.

Aguero yang kini beraksi bersama Kanchanaburi Power FC disenaraikan bersama-sama 28 lagi pemain lain untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula 1hb September (Isnin).

Cklamovski memanggil pemain berusia 31 tahun ini buat julung kalinya ke kem latihan bimbingannya selepas Aguero meraih debut bersama pendatang baharu Liga 1 Thai itu pada 24hb Ogos baru-baru ini.

Kali terakhir Aguero menyarung jersi Harimau Malaya adalah ketika bertemu Singapura dalam saingan Piala ASEAN 2024 pada Disember lalu di bawah kendalian ketua jurulatih, Pau Marti.

Selain Aguero, Cklamovski turut memanggil enam lagi pemain lain yang beraksi di luar negara seperti Facundo Garces (Deportivo Alaves), Gabriel Palmero (Unionistas de Salamanca), Rodrigo Holgado (America de Cali), Dion Cools (Cerezo Osaka), Endrick dos Santos (Ho Chi Minh City) dan paling menarik, Richard Chin (Raith Rovers).

Manakala untuk pemain tempatan pula, dua muka baharu yang disenaraikan Cklamovski berbanding senarai panggilan ketika bertemu Vietnam lalu ialah Suhaimi Husin dan Azam Azmi Murad dari Terengganu FC.

Untuk makluman, Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat selama tiga hari di ibu negara sebelum bertemu Singapura bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ pada 4hb September. 

Selepas itu, skuad kebangsaan akan turun menjalani kem latihan pusat di selatan semenanjung tanah air bermula 5hb September diikuti perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8hb September.

Featured Image: Kanchanaburi Power FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd