Pearly-Thinaah Hanya Selangkah Lagi Untuk Bergelar Juara Dunia

August 30, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan mencipta satu lagi sejarah dengan menjadi beregu wanita pertama negara melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia BWF.

Sejarah itu ditempa selepas pasangan yang menghuni ranking kedua dunia itu berjaya menjinakkan seteru rapatnya dari Jepun, Chiharu Shida dan Nami Matsuyama pada peringkat separuh akhir di Arena Adidas, sebentar tadi.

Perlawanan yang menemukan kedua-dua pasangan buat kali ke-16 itu menyaksikan Pearly-Thinaah terlebih dahulu tewas di set pertama menerusi skor 14-21.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah bangkit memperkemaskan permainan serta taktikalnya pada set kedua sekaligus berhasil mencetak kemenangan menerusi skor 21-13 – mengheret Shida-Matsuyama ke set penentuan.

Keinginan tinggi Pearly-Thinaah untuk mara ke pentas akhir itu semakin menyerlah dengan mengekalkan rentak permainan dan terus mengasak sehingga berjaya menamatkan pertarungan dengan skor 21-12.

Pertembungan sengit selama satu jam dan lapan minit itu menjadi yang terakhir buat kedua-dua pasangan memandangkan Shida-Matsuyama akan berpisah selepas daripada kejohanan ini.

Sepanjang 16 pertemuan yang berlangsung melibatkan Pearly-Thinaah dan Shida-Matsuyama di pentas antarabangsa, hanya tiga perlawanan sahaja berhasil dimenangi beregu negara termasuk di Kejohanan Dunia BWF 2025.

Sementara itu, di pentas akhir yang bakal berlangsung pada Ahad, Pearly-Thinaah akan menantikan cabaran daripada samada beregu No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau beregu Jepun yang menduduki ranking kesembilan dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi untuk merebut gelaran Juara Dunia bagi edisi kali ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd