Pernah Berpisah Seketika, Kini Tang Jie-Ee Wei Rangkul Gelaran Juara Dunia
August 31, 2025 Hafizuddin Omar

Satu sejarah baharu tercipta dalam arena badminton tanah air apabila beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berjaya meraih gelaran juara di Kejohanan Dunia BWF 2025.

Lebih manis, Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran itu pada tanggal 31hb Ogos – Hari Kebangsaan – sekaligus menjadi hadiah yang lebih bermakna bukan sahaja buat peminat badminton tanah air bahkan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kejayaan membanggakan itu muncul setelah Tang Jie-Ee Wei mencetak kemenangan bergaya ke atas pasangan No.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Adidas, Paris.

Pasangan negara yang menduduki ranking keempat dunia itu memulakan set pertama dengan catatan skor 21-15 sebelum menyambung rentak permainan yang cemerlang di set kedua sebelum menutupnya dengan skor  21-14.

Ternyata rekod pertemuan terdahulu yang tidak memihak kepada Tang Jie-Ee Wei – tiga kekalahan daripada empat pertemuan – tidak memberikan sebarang makna dalam aksi akhir itu serta menunjukkan mereka berada di puncak prestasinya pada saat ini.

Seperkara lagi yang menarik, perjalanan Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran juara dunia ini turut dihiasi dengan episod perpisahan buat seketika waktu pada penghujung Mac lalu.

Bagaimanapun, selepas nasihat dan perbincangan daripada pelbagai pihak, pemain berusia 27 dan 24 tahun masing-masing itu kembali bersatu pada penghujung April.

Mereka membuat kemunculan semula dalam siri Jelajah Dunia BWF di Terbuka Singapura diikuti Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Macau.

Untuk makluman, kejuaraan ini juga merupakan yang kedua dimenangi oleh pasangan badminton Malaysia selepas beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjuarainya pada edisi 2022.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen