Pearly-Thinaah Bawa Pulang Pingat Perak Pertama Kejohanan Dunia BWF

August 31, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pasangan wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terlepas peluang untuk bergeluar juara dunia namun gandingan pemain berusia 25 dan 27 tahun masing-masing itu tetap mencipta sejarah baharu badminton tanah air.

Penghuni ranking kedua itu menjadi beregu wanita Malaysia yang pertama membawa pulang pingat perak daripada Kejohanan Dunia BWF.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Adidas, Paris itu tadi, Pearly-Thinaah terlepas kilauan pingat emas berikutan tewas di tangan pasangan China yang menduduki tangga No.1 dunia, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Namun begitu, Pearly-Thinaah tidak memberikan laluan mudah buat Sheng Shu-Tan Ning untuk meraih gelaran juara dunia pertamanya.

Pearly-Thinaah memberikan tentangan hebat dengan bertarung sebanyak tiga set dalam tempoh hampir satu jam setengah lamanya sebelum Sheng Shu-Tan Ning mengakhirinya dengan skor 21-14, 20-22 dan 21-17.

Selain meraih kilauan pingat emas, keputusan itu juga menjadikan Sheng Shu-Tan Ning memperbaharui rekod kemenangan ke atas Pearly-Thinaah kepada 10 daripada 14 pertemuan di pelbagai kejohanan antarabangsa sejak tahun 2023.

Sebagai tambahan, ini merupakan pentas perlawanan akhir kelima dijejaki oleh Pearly-Thinaah sepanjang tahun 2025 setakat ini selain Masters Indonesia, Terbuka Thailand, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.

Hanya perlawanan akhir di Terbuka Thailand – Jelajah Dunia BWF Super 500 – yang berlangsung sekitar Mei lalu sahaja berhasil diakhiri Pearly-Thinaah dengan gelaran juara.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd