Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Kembali Huni Tangga No.3 Dunia
Hafiz Omar

Pasangan campuran negara yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2025, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kembali ke tangga ketiga dunia – posisi yang dihuninya sekitar lima minggu lalu.
Gandingan yang melakar gelaran juara dunia susulan menumpaskan Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin. Kemenangan itu membolehkan mereka meraih 14,500 mata sekaligus mengumpul 88,533 mata secara keseluruhan.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pungutan mata itu melonjakkan kedudukan Tang JIe-Ee Wei sebanyak satu anak tangga berbanding posisi yang dihuninya pada minggu lalu.
Sebagai rekod, kedudukan ketiga dunia ini merupakan yang tertinggi pernah dijejaki oleh Tang Jie-Ee Wei bukan sahaja sejak bergandingan bersama bahkan sepanjang bergelar pemain badminton setakat ini.
Sementara itu, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang mara sehingga ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia BWF minggu lalu turut melakar kenaikan dua anak tangga dan meletakkannya di posisi No.14 dunia.
Berbeza pula dengan sepasang lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mengalami penurunan dua anak tangga menjadikannya terpaksa akur menghuni tangga kelapan dunia bagi minggu ini.
Di kejohanan dunia minggu lalu, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri terkandas di peringkat pusingan 16 – tewas kepada Pang Ron-Su Yin.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia