Penyerang Naturalisasi Mahu Bawa Vietnam Ke Piala Dunia 2030
Hafiz Omar

Rafaelson Fernandes atau Nguyen Xuan Son yang merupakan penyerang naturalisasi Vietnam memasang tekad untuk membawa skuad berjulukan Pahlawan Emas ke pentas Piala Dunia 2023.
Pemain berusia 28 tahun kelahiran Maranhao, Brazil itu memasang tekad dan cita-cita tersebut bagi membalas sokongan yang diberikan oleh peminat dan pendukung skuad kebangsaan Vietnam.
“Sasaran utama kami adalah layak ke Piala Dunia 2030,” kongsi Son ketika ditemu bual oleh ESPN Brazil sepertimana dipetik daripada VnExpress.
Pada masa yang sama, ESPN Brazil turut menulis bahawa lanjutan kontrak Son bersama kelabnya dalam saingan V.League 1 iaitu Thep Xanh Nam Dinh FC sehingga tahun 2031 akan membantu merealisasikan cita-cita tersebut.
Prestasi terbaik Vietnam untuk menempah tiket ke pentas Piala Dunia hadir semasa kempen Kelayakan Piala Dunia 2022. Ketika itu, Vietnam kendalian Park Hang-seo berhasil mara sehingga ke pusingan ketiga.
Ketika ini, Son sedang berada dalam fasa akhir pemulihan susulan kecederaan patah kaki kanan. Pemain yang pernah beraksi di Jepun dan Denmark ini bekerja kuat untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan pada awal tahun hadapan.
Kecederaan ngeri itu menimpanya ketika beraksi dalam perlawanan akhir timbal balik Piala ASEAN 2024 bertemu Thailand pada 5hb Januari.
Sekiranya pulih, Son akan kembali memperkukuhkan skuad bimbingan Kim Sang-sik dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 peringkat Kumpulan F bertemu Malaysia pada Mac 2026.
Saat ini, Malaysia sedang memimpin Kumpulan F dengan pungutan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan. Sementara itu, Vietnam di tangga kedua hasil mengutip tiga mata setelah menang bertemu Laos namun kalah di tangan Malaysia.