
Negara Teluk iaitu Arab Saudi berada dalam keadaan siap sedia untuk menerima atlet elit, barisan pegawai dan tetamu dari 57 buah negara daripada seluruh dunia Islam bagi bersaing dalam Sukan Solidariti Islam (ISG) 2025 yang bakal berlangsung di Riyadh bermula 8hb hingga 20hb November kelak.
Edisi keenam temasya sukan anjuran Persekutuan Sukan Solidariti Islam (ISSF) berkenaan kembali dianjurkan di Arab Saudi – tuan rumah edisi pertama pada tahun 2005 – selepas dihoskan oleh Tehran, Iran (2010); Palembang, Indonesia (2013); Baku, Azerbaijan (2017) dan Konya, Turki (2021).
Secara keseluruhannya, tuan rumah akan mempertandingkan 23 jenis acara termasuk debut dua jenis sukan; perlumbaan unta dan e-Sukan serta dua disiplin para iaitu para olahraga dan para angkat berat dengan kesemuanya akan berlangsung di lima buah venue utama sekitar Riyadh.

“Arab Saudi amat berbesar hati menyambut kedatangan saudara dan saudari kami dari 57 negara. Temasya ini mencerminkan iltizam negara terhadap perpaduan dunia islam serta menyediakan platform terbaik untuk atlet bersaing, menjalin hubungan dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang.” kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tertinggi, Putera Fahad bin Jalawi.
Penganjuran ini terus mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai hab sukan global selepas berjaya menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Arab Saudi melabelkan temasya ini sebagai ketiga terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia sekaligus menyerlahkan kepentingannya dalam menyatukan bakat sukan daripada dunia Islam.
Sejak ianya dipertandingkan, Turkiye mendahului carta kutipan pingat dengan mengumpul 237 emas diikuti Iran (118 emas), Azerbaijan (114 emas) serta Uzbekistan (66 emas) dan Indonesia (56 emas).
Menyambung senarai itu ialah Mesir (46 emas), Kazakhstan (42 emas), Maghribi (40 emas), Arab Saudi (37 emas) dan Malaysia (33 emas).
Senarai penuh acara sukan dipertandingkan adalah seperti berikut:
- Bola Baling
- Bola Keranjang 3×3
- Renang
- Lawan Pedang
- Olahraga
- Muay Thai
- Taekwondo
- Bola Tampar
- Ping Pong
- Karate
- Gusti
- Futsal
- Angkat Berat
- Judo
- Duathlon
- Ekuestrian
- Tinju
- Wushu
- Jiu-Jitsu
- Perlumbaan Unta [debut]
- e-Sukan [debut]
- Para Angkat Berat
- Para Olahraga