Terbuka Hong Kong: Soon Huat-Shevon, Pang Ron-Su Yin Bertembung
Hafiz Omar

Pasangan campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin akan bertembung sesama sendiri pada peringkat pusingan 16 di Terbuka Hong Kong 2025.
Pertembungan itu terhasil selepas kedua-dua berhasil melepasi cabaran di pusingan 32 masing-masing, pada hari ini.
Soon Huat-Shevon yang diletakkan selaku pilihan ketujuh melepasinya dengan menumpaskan beregu Chinese Taipei yang baru bergandingan, Lin Bing-Wei dan Lin Jhih Yun menerusi tiga set permainan berskor 13-21, 23-21 dan 21-8.
Sementara itu, Pang Ron-Su Yin yang merupakan beregu campuran No.3 negara pula mara dengan bergaya selepas menumbangkan wakil Ukraine, Oleksii Titov dan Yevheniia Kantemyr menerusi pungutan mata 21-14 dan 21-14 dalam masa 24 minit.
Pertembungan ini dijangka menyajikan aksi yang menarik bukan sahaja untuk merebut slot ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 500 bahkan melihat sejauh mana persaingan melibatkan beregu campuran No.2 dan No.3 tanah air.
Sebagai rekod, kedua-duanya baru sahaja bertembung sekitar dua minggu lalu di Kejohanan Dunia BWF dimana Pang Ron-Su Yin berhasil mencetak kemenangan menerusi skor 13-21, 23-21 dan 21-17 dalam masa 55 minit.
Sebelum itu, dua pasangan ini bertembung buat julung kalinya di Terbuka Artik 2024 dimana Soon Huat-Shevon meraih kemenangan dua set berturut-turut menerusi skor 21-19 dan 21-15 dalam masa 40 minit.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia