
Gandingan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang mencipta sejarah selaku beregu campuran negara pertama merangkul gelaran juara di Kejohanan Dunia BWF mendapat ganjaran wang tunai oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Ganjaran itu diberikan oleh MSN menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dimana mereka mendapat wang tunai bernilai RM40,000 bagi tiap seorang.
Perkara tersebut dikongsikan oleh MSN menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada hari ini. Dimaklumkan, pemberian itu sebagai pengiktirafan kepada Tang Jie dan Ee Wei di atas kejayaan yang dikecapi itu.
Tidak ketinggalan, gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang mara ke perlawanan akhir di kejohanan yang sama turut diberikan insentif wang tunai sebanyak RM20,000 bagi tiap seorang.
Pearly-Thinaah juga menjadi beregu wanita negara pertama yang meraih gelaran naib juara di Kejohanan Dunia BWF.

Dalam siaran media yang sama, MSN turut mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM480,000 kepada enam atlet wushu negara yang berjaya meraih pingat di Kejohanan Wushu Dunia di Brazil menerusi skim yang sama.
Si Shin Peng, Tan Cheong Min, Lee Jia Rong, Pang Pui Yee, Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei membawa pulang lima pingat emas, satu pingat perak dan dua gangsa untuk kontinjen negara dengan Si Shin Peng – memenangi emas acara lelaki Qiangshu, acara Jianshu dan gangsa berpasukan acara Duilian – muncul penerima tertinggi dengan jumlah RM166,666.66
Tan Cheong Min yang mengungguli pingat emas acara wanita Nangun, emas berpasukan acara Duilian dan pingat perak individu acara Nandao menerima RM146,666.66.
Lee Jia Rong menerima RM126,666.66 hasil emas wanita individu Daoshu, emas berpasukan Duilian dan pingat gangsa acara individu Gunshu. Pang Pui Yee menerima RM26,666.66 hasil emas wanita berpasukan Duilian manakala Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei masing-masing menerima RM6,666.66 menerusi gangsa berpasukan Duilian.
Insentif emas individu berjumlah RM80,000.00, perak RM40,000 dan gangsa RM20,000.00 adalah kerana Kejohanan Wushu Dunia ini dilangsungkan setiap dua tahun. Jumlah insentif sama diberikan dalam acara berpasukan yang dianggotai tidak lebih empat atlet.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia