Masters China: Pang Ron-Su Yin Mara Ke Pusingan 16

September 17, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin memulakan kempen di Masters China 2025 dengan langkah kanan selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Adnan Maulana dan Indah Cahya di pusingan 32, hari ini.

Bahkan, gandingan pemain yang menghuni ranking ke-14 dunia itu tampil garang menundukkan lawannya menerusi kemenangan dua set berturut-turut, 21-6 dan 21-14, dalam masa 27 minit sahaja.

Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan sulung melibatkan Pang Ron-Su Yin dan Adnan-Indah, ranking ke-31 dunia, di kejohanan antarabangsa.

Susulan daripada kemenangan tersebut, Pang Ron-Su Yin meneruskan kemaraannya ke pusingan 16. 

Menantinya di situ adalah pasangan tuan rumah yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.

Melihatkan kepada rekod, gandingan pemain China itu dilihat menjadi satu halangan besar buat Pang Ron-Su Yin dimana tiga pertemuan yang telah berlangsung sebelum ini semuanya berpihak kepada Yan Zhe-Dong Ping.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd