Ranking BWF: Kedudukan Tang Jie-Ee Wei Jatuh
Hafiz Omar

Kedudukan juara Kejohanan Dunia BWF 2025, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dalam Ranking Dunia nampaknya mengalami kejatuhan satu anak tangga sekaligus menghuni tangga keempat dunia bagi minggu ke-39 bagi tahun 2025.
Kejatuhan itu terpampang selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskininya pada hari ini.
Tang Jie-Ee Wei, memiliki 88,803 mata, ditolak ke tangga keempat susulan dipintas oleh beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran yang mengumpul 90,165 mata.
Jumlah pungutan mata itu turut merangkumi tambahan 11,000 mata hasil menjuarai Masters China 2025 pada Ahad lalu mengalahkan Tang Jie-Ee Wei menerusi skor 21-8 dan 21-17 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Shenzhen Arena.
Sementara itu, kemaskini itu memperlihatkan Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang beraksi setakat pusingan 16 di Masters China 2025 turun dua anak tangga – menghuni tangga ke-18 dunia untuk minggu ini.
Sementara itu, gandingan yang bergerak secara sendirian (independent) merangkap pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai kekal di tangga kelapan dunia biarpun turut sama tersingkir di pusingan 16.
Featured Image: BAM