Piala Shopee: Gergasi Merah Bantai Tampines Rovers
Hafiz Omar

Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC berhasil mencatatkan kemenangan pertama dalam kancah Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee apabila berkenduri gol bertemu Tampines Rovers FC, pada malam ini.
Anak-anak buah Katsuhito Kinoshi bermula garang dengan menyumbat dua gol pada babak pertama menerusi jaringan sendiri oleh Shuya Yamashita (18’) serta jaringan oleh pemain Australia, Zach Clough (30’).
Bagaimanapun, pasukan pelawat yang juga penghuni tangga kedua Liga Premier Singapura sempat menjaringkan satu gol menerusi Koya Kazama (41’) melalui sepakan penalti sebelum menuju ke bilik persalinan bagi rehat separuh masa.
Bersambung babak kedua, Tampines Rovers terus memburu jaringan penyamaan dan usahanya membuahkan hasil apabila Hide Higashikawa (65’) menyumbat masuk bola ke dalam gawang melepasi Kalamullah Al Hafiz.
Akan tetapi, Selangor FC yang beraksi di laman sendiri kembali di hadapan susulan jaringan yang disempurnakan Faisal Halim (51’).
Tidak lama kemudian, skuad berjulukan Gergasi Merah menambah satu lagi jaringan melalui Alvin Fortes (58’) sekaligus menjarakkan kedudukan semasa kepada 4-2.
Kedua-dua pasukan cuba untuk menambahkan lagi jaringan namun kedudukan itu tidak berubah sehingga pengadil perlawanan dari Oman, Al Yaqoubi Omar meniup wisel menamatkan permainan.
Berikutan kemenangan ini, Selangor FC kini menerajui Kumpulan A dengan kutipan empat mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Perlawanan seterusnya, Selangor FC dijadualkan menentang Cebu FC pada 3hb Disember di tempat lawan.
Featured Image: Selangor FC