Pengendali DPMM FC Buat Perubahan, Buru Kemenangan Sulung Liga Super

September 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tonggak import DPMM FC, Miguel Oliveira menyifatkan motivasi pasukan tetap tinggi untuk kembali bangkit meskipun masih kemarau kemenangan dalam empat aksi terakhir Liga Super.  

Mereka mencatatkan satu keputusan seri dan mengalami tiga kekalahan dalam empat aksi terbabit. Ia bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh skuad kendalian Jamie McAllister tersebut apatah lagi menyebabkan mereka terperosok di tangga tercorot liga.

Bagaimanapun, Oliveira tidak menganggap situasi itu sebagai satu tekanan yang boleh menjejaskan persiapan pasukan khususnya menjelang pertemuan menentang Kelantan The Real Warriors, pada malam ini.

Pemain dari Portugal ini turut percaya dengan percaturan jurulatih yang telah melakukan beberapa perubahan taktikal selain menyediakan perancangan berbeza bagi memastikan DPMM FC berhasil meraih kemenangan pertama liga musim ini. 

“Kita memang tak menang lagi perlawanan liga setakat ini, tapi itu tidak melemahkan kita semua sebaliknya semakin bersemangat untuk cuba bangkit dalam aksi lain selepas ini.” 

“Untuk ubah kedudukan ini, kita sendiri kena tahu kelemahan pasukan, kena ada motivasi yang tinggi dan kena positif untuk belajar daripada kesilapan dalam perlawanan terdahulu.” 

“Sekarang jurulatih ada buat beberapa perubahan dalam latihan, dan kita perlu fokus biarpun dalam sekecil-kecil perkara yang mungkin boleh ubah balik permainan kita.”

“Apa pun, Kelantan (TRW) sekarang tidak kurang hebatnya dan kita sedar cabaran yang menanti malam ini sebab mereka pun baru tewas dua kali, tapi kita perlu fokus untuk pasukan sendiri dahulu,” jelasnya. 

Pada masa yang sama, Oliveira tidak menolak kelab-kelab di Liga Malaysia sangat kompetitif dan setiap pemain punyai kualiti tersendiri yang membuatkannya perlu sentiasa memperbaiki kelemahan sendiri.

“Saya pertama kali main di sini dan apa saya boleh katakan Liga Malaysia sangat kompetitif dan saya dah boleh jangkakan daripada awal yang ianya tidak mudah.” 

“Saya pun agak bergelut apatah lagi sekarang saya ada sikit kecederaan, tapi saya yakin permainan saya akan lebih baik untuk terus bantu pasukan mendapatkan keputusan terbaik selepas ini,” tambahnya. 

DPMM FC akan menantikan kunjungan skuad bimbingan E. Elavarasan pada malam ini di Brunei Darussalam. Selain itu, saingan Liga Super turut menghidangkan dua lagi perlawanan pada minggu ini dimana Negeri Sembilan FC di Paroi akan melayan kunjungan Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC akan berhadapan Terengganu FC di Cheras.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd