Piala Shopee: Bergson Ledak Hatrik, JDT Lakar Kemenangan Kedua Kumpulan B
Hafiz Omar

Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut peringkat Kumpulan B selepas menewaskan Bangkok United FC 4-0.
Penyerang Brazil yang baru sahaja memahat namanya selaku Penjaring Gol Terbanyak Liga Super Sepanjang Zaman, Bergson da Silva beraksi cemerlang dalam perlawanan terbabit dengan meledak hatrik pada 46’, 73’ dan 90+2’.
Sementara itu, penyerang berdarah campuran Brazil-Malaysia, Joao Figueiredo melengkapkan malam gemilang buat Harimau apabila turut menyumbat gol pada 52’.

Pasukan pelawat bimbingan Totchtawan Sripan ternyata tiada jawapan balas terhadap jaringan-jaringan oleh JDT dan terpaksa akur menamatkan aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu tanpa sebarang pungutan mata.
Hasil daripada kemenangan bergaya itu, JDT mengukuhkan kedudukannya di persada Kumpulan B dengan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Kempen JDT dalam saingan Piala Shopee akan bersambung pada 4hb Disember dimana mereka akan bertemu kelab dari Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng FC di halaman lawan.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers