STAR Paroi Rekod Kehadiran Tertinggi Aksi Keenam Liga Super – 20,816 Orang
Hafiz Omar

Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi mengungguli carta kehadiran penonton tertinggi bagi perlawanan keenam Liga Super 2025-2026 ketika Negeri Sembilan FC bertemu Sabah FC, Sabtu lalu.
Aksi yang berkesudahan dengan skuad bimbingan Nidzam Jamil membantai Sabah FC dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Jovan Motika (26’), Alex Agyarkwa (40’) dan Joseph Esso (79’) itu menarik 20,816 orang penonton.
Rekod itu jauh mengatasi catatan kehadiran di tiga buah venue lain iaitu Stadium Negeri, Kuching City FC vs Imigresen FC (4,470 orang); Stadium Negara Hassanal Bolkiah, DPMM FC vs Kelantan TRW FC (2,800 orang) dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City FC vs Terengganu FC (1,551 orang).

Sementara itu, aksi yang menemukan Selangor FC dan Melaka FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pula ditunda berikutan pemain dan barisan kejurulatihannya menyertai saingan Piala Sultan Selangor 2025.
Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga STAR menarik kehadiran lebih daripada 20,000 orang penonton apabila menjadi tuan rumah buat Negeri Sembilan FC dalam kancah Liga Super 2025-26.
Dua perlawanan sebelum ini yang merekodkan kehadiran lebih 20,000 orang adalah Negeri Sembilan FC vs Selangor FC (25,550 orang) dan Negeri Sembilan FC vs Kuching City FC (24,478 orang).
Featured Image: Negeri Sembilan FC