Marc Marquez Rangkul Kejuaraan MotoGP 2025 – Menyamai Rekod The Doctor
Hafiz Omar

Gelaran juara dunia MotoGP 2025 menjadi milik pelumba Ducati, Marc Marquez, 32 tahun, apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun yang bertempat di Litar Motegi di tempat kedua, pada hari ini.
Biarpun sekadar menamatkan perlumbaan ke-17 musim ini di tempat kedua – di belakang rakan sepasukan, Francesco Bagnaia – ianya sudah memadai untuk Marquez kekal mengungguli carta kejuaraan dengan pungutan 541 mata.
Jumlah pungutan mata itu sudah tidak dapat dipintas oleh pencabar terdekat merangkap adik kandungnya sendiri, Alex Marquez dari pasukan Gresini Racing – kini mengumpul 340 mata – dalam baki lima perlumbaan yang berikutnya.
Ini merupakan kejuaraan dunia pertama dirangkul Marquez sejak musim 2019 selepas bergelut dengan kecederaan dan siri pembedahan berikutan patah tulang humerus ekoran kemalangan semasa beraksi di GP Sepanyol pada musim 2020.
Selain itu, kisah Marquez memburu semula gelaran juara dunia turut diiringi cabaran didiagnosis diplopia – masalah penglihatan berganda yang mula-mula dialaminya ketika kemalangan pada penghujung musim 2011 ketika menyertai perlumbaan Moto2.
Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan dunia MotoGP ketujuh buat pelumba dari Sepanyol berkenaan selepas menjuarainya pada musim 2013, 2014, 2016, 2017, 2018 dan 2019 – menyamai rekod kejuaraan pelumba legenda, Valentino Rossi yang terkenal dengan julukan The Doctor.
Featured Image: MotoGP