Ranking BWF: Kedudukan Pang Ron-Su Yin Jatuh
Hafiz Omar

Kedudukan beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin dalam Ranking Dunia nampaknya mengalami kejatuhan.
Kemaskini yang dilakukan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pasangan berusia 27 dan 22 tahun masing-masing itu jatuh satu anak tangga menjadikan mereka berada di kedudukan ke-19 dunia bagi minggu ke-40.
Pang Ron-Su Yin yang terkandas di peringkat suku akhir Terbuka Korea 2025 berada di kedudukan berkenaan dengan kutipan 50,633 mata.
Sementara itu, kemaskini oleh BWF itu menyaksikan kedudukan dua beregu campuran terbaik negara iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tidak berganjak di tangga ke-4 dan ke-8 masing-masing.
Manakala Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien yang bergerak secara bersendirian (independent) serta turut mara ke peringkat suku akhir Terbuka Korea 2025 merekodkan kenaikan dua anak tangga dan menduduki ranking ke-33 dunia.
Turut menarik perhatian adalah pergerakan Jimmy Wong dan Lai Pei Jing sebanyak sembilan anak tangga dan membolehkannya menduduki tangga ke-39 dunia – hasil sumbangan mata yang dipungutnya berikutan mara ke separuh akhir Masters Kaohsiung 2025.
Featured Image: BAM