Ranking BWF: Justin Hoh Catat Peningkatan
Hafiz Omar

Perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh kini berada di tangga ke-36 dunia – meningkat satu anak tangga berbanding kedudukan yang dihuninya pada minggu lalu.
Peningkatan itu terpapar setelah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada hari ini.
Justin berada di kedudukan tersebut hasil mengumpul 36,466 mata daripada 10 kejohanan terbaik yang disertainya dalam tempoh 52 minggu yang sudah.
Sementara itu, kemaskini itu turut mempamerkan kejatuhan pemain No.1 negara, Leong Jun Hao sebanyak satu anak tangga dan kini berada di kedudukan ke-21 dunia.
Turut sama mengalami kejatuhan satu anak tangga adalah pemain yang bergerak secara bersendirian (independent), Aidil Sholeh – kedudukan ke-40 dunia.
Manakala bekas pemain No.1 tanah air, Lee Zii Jia pula mengalami kejatuhan dua anak tangga dan kini berada di kedudukan ke-43 dunia.
Cheam June Wei paling mencuri perhatian pada kemaskini kali ini apabila melonjak 10 anak tangga susulan mara ke peringkat suku akhir Masters Kaohsiung 2025 pada minggu lalu.
Pemain berusia 28 tahun berkenaan berada tangga ke-71 dunia pada saat ini.
Featured Image: BAC