Antoine Griezmann Cetak Gol Ke-200 Bersama Atletico Madrid

October 1, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang kelahiran Perancis berusia 34 tahun, Antoine Griezmann merekodkan pencapaian baharu yang menakjubkan dalam kariernya apabila meledak gol ke-200 bersama Atletico Madrid.

Griezmann yang sudah pun memegang takhta sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman buat Atletico Madrid meledak gol ke-200 itu ketika bertemu Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA, awal pagi tadi.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Metropolitano itu, jaringan Griezmann yang hadir sebelum rehat separuh masa menyumbang kepada pesta gol oleh skuad bimbingan Diego Simeone – membantai kelab dari Jerman itu dengan keputusan 5-1.

Empat lagi jaringan dicetak oleh Giacomo Raspadori (4’), Robin Le Normand (33’), Giuliano Simeone (70’) dan julian Alvarez (82’).

Sementara itu, Eintracht Frankfurt kendalian Dino Toppmoller membawa pulang gol saguhati menerusi Jonathan Burkadt (57’). 

Rekod itu bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat Griezmann bahkan ini merupakan julung kalinya Atletico Madrid mempunyai pemain yang merekodkan 200 gol sejak kelab itu ditubuhkan pada 1903.

Sebagai rekod, Griezmann diangkat sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Atletico Madrid serta legenda kelab apabila mencetak gol ke-174 ketika bertemu Real Madrid. 

Untuk makluman, gol sulung Griezmann bersama Atletico Madrid terhasil pada September 2014 ketika bertemu Olympiacos di Greece dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA.

Senarai 5 penjaring terbanyak sepanjang zaman Atletico Madrid:

  1. Antoine Griezmann – 200 gol
  2. Luis Aragones – 173 gol
  3. Adrian Escudero – 170 gol
  4. Francisco ‘Paco’ Campos – 146 gol
  5. Jose Garate – 136 gol

Featured Image: Atletico Madrid

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd