Terengganu FC Jalin Kerjasama Keluarkan Kurta Eksklusif Edisi Khas – RM79 Sehelai
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC tampil menghasilkan kurta eksklusif edisi khas selepas mengumumkan menjalinkan kerjasama strategik dengan Hermosa Wear.
Kerjasama dengan jenama pakaian terbabit diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh pihak kelab, pada hari ini.
Menurut pihak kelab, kurta eksklusif edisi khas itu menjadi permulaan kepada kerjasama antara kedua-dua entiti. Kurta itu menampilkan ciri negeri dan bola sepak Terengganu sesuai digayakan dalam pelbagai acara seperti ke masjid, kenduri kendara termasuk ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak.
Umum ketahui, kelab yang sinonim dengan warna hitam dan putih ini semakin giat mengorak langkah ke arah pengkomersilan sejak ianya dipimpin oleh Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai.

Namun begitu, bekas Pengarah Urusan Aeon Big menyatakan mahu mengekalkan ciri-ciri tradisional negeri Terengganu tatkala menggiatkan usaha ke arah pemodenan kelab bersesuaian dengan senario bola sepak terkini.
“Kami berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan jenama tempatan yang mempunyai nilai tradisi dan moden seperti Hermosa Wear ini kerana ianya bukan sekadar kolaborasi komersial, tetapi juga satu simbolik bahawa bola sepak boleh merentasi sempadan budaya dan gaya hidup.”
“Selain itu, Terengganu yang kini terkenal sebagai negeri paling bahagia di Malaysia mampu menonjolkan nilai tradisi serta budaya setempat menerusi bola sepak yang mempunyai banyak peminat di seluruh negara,” katanya dipetik daripada kenyataan dikongsikan Terengganu FC.
Kurta eksklusif itu hadir dalam enam pilihan warna dan kesemuanya boleh didapati di kedai cenderahati kelab serta kedai atas talian, TFC Direct, dengan harga RM79 sehelai.
Selain kurta, Terengganu FC memaklumkan akan mengeluarkan juga koleksi baju melayu.

Featured Image: Terengganu FC