Masters Al Ain: Justin Hoh Melangkah Ke Pusingan 16

October 1, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki No.2 negara, Justin Hoh berhasil melangkah ke pusingan 16 di Masters Al Ain 2025 selepas menumbangkan wakil India, Raghu Mariswamy, sebentar tadi.

Tiket kemaraan ke pusingan 16 menjadi milik pemain berusia 21 tahun berkenaan selepas mencetak kemenangan ke atas Raghu menerusi skor 21-14, 20-22 dan 21-16 dalam masa 51 minit.   

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan Justin, ranking ke-36 dunia, dan Raghu, ranking ke-125 dunia, di kejohanan antarabangsa.

Susulan kemenangan terbabit, Justin akan meneruskan kempennya di salah satu siri Jelajah BWF Super 100 ini dengan menentang seorang lagi pemain India iaitu Saneeth Dayanand yang berada di ranking ke-114 dunia.

Ianya bakal menjadi pertemuan kedua melibatkan Justin dan Saneeth selepas kedua-duanya berentap buat julung kalinya di Masters China Baoji 2024.

Bagaimanapun, pertembungan itu tidak berpihak kepada Justin dimana Saneeth melakar kemenangan menerusi skor 21-19, 17-21 dan 21-19 dalam masa 61 minit.

Terdahulu, Saneeth mara ke pusingan 16 selepas menundukkan wakil Mesir, Adham Hatem Elgamal secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-12 dan 21-12 dalam masa 31 minit.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd