Zii Jia Tidak Sertai Terbuka Denmark, Terbuka Perancis & Terbuka HYLO
Hafiz Omar

Kelibat bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia tidak akan kelihatan dalam tiga kejohanan badminton utama sepanjang bulan ini.
Tiga kejohanan terbabit ialah Terbuka Denmark (14hb-19hb Oktober), Terbuka Perancis (21hb-26 Oktober) dan Terbuka HYLO (28hb Oktober-2hb November).
Ketiga-tiga kejohanan yang merupakan Jelajah Dunia BWF Super 750 dan Super 500 itu tidak disertai Zii Jia selepas mendapat nasihat daripada pakar perubatan.
“Lee Zii Jia telah dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk menjalani program pemulihan lanjutan bagi menangani masalah sakit belakang yang berterusan.” tulis kenyataan oleh Team LZJ.
“(Tahun) 2025 sememangnya merupakan musim yang mencabar buat Zii Jia, namun keazamannya untuk mengatasi cabaran serta sokongan daripada para peminat dan penaja menjadi sumber motivasinya,” tambah kenyataan itu lagi.
Penghujung Ogos lalu Zii Jia kembali ke gelanggang selepas berehat panjang ekoran mengalami kecederaan pada buku lalinya dengan menyertai Kejohanan Dunia BWF, Terbuka Hong Kong dan Masters China.
Ketiga-tiga kejohanan itu berakhir dengan Zii Jia tewas dan tersingkir pada pusingan pertama masing-masing.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia