Stadium Selayang Rekod Kehadiran Tertinggi Aksi Ketujuh Liga Super – 3,120 Orang
Hafiz Omar

Stadium Majlis Perbandaran (MP) Selayang mengungguli carta kehadiran penonton tertinggi bagi perlawanan ketujuh Liga Super 2025-2026.
Venue yang melangsungkan pertembungan antara PDRM FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Ahad, menarik kedatangan 3,120 orang penonton.
Mereka yang hadir ke stadium tersebut disajikan dengan pesta gol dimana anak-anak buah Xisco Munoz menjaringkan tujuh gol selain merekodkan “clean sheet”.
Tujuh gol itu dijelmakan oleh Arif Aiman (27’, 33’); Bergson (54’); Eddy Israfilov (67’); Jairo (77’, 85’) dan Romel Morales (83’).
Sementara itu, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak yang menemukan Terengganu FC dan Kelantan The Real Warriors FC, Jumaat lalu, menduduki tangga kedua carta kehadiran penonton tertinggi.
Aksi yang berkesudahan dengan skuad bimbingan Badrul Afzan menumpaskan Kelantan TRW FC dengan keputusan 4-1 itu menarik kehadiran 2,957 orang penonton.
Di tangga ketiga, rekod kehadiran di Stadium Likas, Kota Kinabalu mengekori rapat dengan kehadiran 2,488 orang yang menemukan Sabah FC dan Kuching City FC – perseteruan dua pasukan dari kepulauan Borneo.
Beralih pula di tangga keempat adalah pertemuan melibatkan Penang FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang merekodkan kehadiran seramai 1,143 orang.
Pertemuan melibatkan Imigresen FC dan Selangor FC di Stadium Negeri, Pulau Pinang merekodkan kehadiran paling sedikit bagi perlawanan ketujuh Liga Super dengan menarik hanya 784 orang penonton sahaja.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers