Kakitangan Tersilap Muat Naik Dokumen Daripada Ejen – FAM

October 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan media yang kedua pada hari ini selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerbitkan penghakiman penuh berkaitan pemalsuan dan penyelewengan dokumentasi melibatkan tujuh pemain ‘berketurunan’ Malaysia.

Dalam kenyataan kedua yang disiarkan sekitar tengah hari tadi, FAM memberikan penjelasan tambahan bahawa kesilapan yang berlaku berpunca daripada “wrong submission” iaitu ralat pentadbiran berikutan seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Penjelasan ini kesinambungan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM pada 28hb September lalu dimana mereka mengakui wujudnya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

Dalam kenyataan yang sama sekitar tengah hari tadi, FAM memberi penegasan gambaran yang diberikan dalam keputusan FIFA adalah tidak tepat. 

“Dakwaan bahawa pemain ‘memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu’ adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.” tulis kenyataan itu.

“Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.”  tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, FAM mengeluarkan kenyataan rasmi pada pagi tadi dengan menyatakan telah menerima dokumen penghakim penuh daripada FIFA selain mengesahkan akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd