Tang Jie-Ee Wei Dapat Insentif Hampir Setengah Juta Ringgit
Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menerima wang tunai berjumlah hampir setengah juta ringgit, pada hari ini, hasil bergelar juara di Kejohanan Dunia 2025.
Pasangan berusia 27 dan 25 tahun masing-masing itu menerima ganjaran berkenaan dalam Majlis Pemberian Insentif yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada petang tadi.
Ganjaran pertama diberikan oleh majikannya sendiri iaitu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjumlah RM300,000 diikuti dengan dua penaja iaitu Yonex dan Affin Bank dengan nilai RM100,000 dan RM60,000 masing-masing.
Sebagai penghargaan, BAM turut memberikan insentif berbentuk wang tunai kepada ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto dan barisan staf sokongan berjumlah RM15,000 dan RM18,000 masing-masing.
Dalam majlis yang sama, beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang muncul naib juara di kejohanan yang sama turut mendapat habuan sebanyak RM192,500 secara keseluruhan hasil pemberian oleh BAM, Yonex dan Affin Bank.
Pada awal September lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) turut menghargai pencapaian Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah dengan memberikan ganjaran wang tunai sebanyak RM80,000 dan RM40,000 bagi setiap pasangan.