Pearly-Thinaah Rangkul Gelaran Ke-9 Di Finland
Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan kini mengumpul sembilan gelaran kejuaraaan dalam dalam kariernya setelah memenangi Terbuka Artik 2025 di Finland.
Pasangan pemain berusia 25 dan 27 tahun masing-masing itu meraih gelaran bagi salah satu siri pertandingan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu susulan mencatatkan kemenangan ke atas beregu Jepun, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada hari ini.
Pearly-Thinaah yang turut diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan berada dalam kelas tersendiri dalam mengalahkan lawannya yang menduduki ranking keenam dunia – menang dua set berturut-turut menerusi skor 21-7 dan 21-9 dalam masa 32 minit.
Sebagai rekod, itu merupakan kemenangan keenam direkodkan Pearly-Thinaah daripada lapan pertemuan bertemu Iwanaga-Nakanishi di kejohanan antarabangsa.
Hasil menjuarai saingan Terbuka Artik, Pearly-Thinaah dapat membawa pulang ganjaran berupa wang tunai sebanyak AS$37,525 (~RM158,505) selain memungut 9,200 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada masa yang sama, kejuaraan itu turut menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia yang pertama merangkul gelaran juara di kejohanan itu.
Untuk makluman, gelaran kejuaraan kesembilan ini muncul selepas Pearly-Thinaah menjuarai Terbuka Thailand 2025, Terbuka Hong Kong 2024, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Swiss 2021, Siri Antarabangsa Malaysia 2019, Cabaran Antarabangsa 2019, Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2019 serta pingat emas Sukan Komanwel 2022.
Bermula 14hb Oktober (Selasa), Pearly-Thinaah akan beralih ke kejohanan yang seterusnya iaitu Terbuka Denmark 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 750.
Featured Image: BAM