Format Piala ASEAN FIFA Ikut Jejak Piala Arab FIFA

October 27, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Satu kejohanan bola sepak yang bernama Piala ASEAN FIFA menghimpunkan sebelas pasukan kebangsaan dari negara-negara asia tenggara akan dihidangkan buat para peminat bola sepak di rantau ini kelak.

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino selepas mewakili badan induk itu memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad.

Butiran terperinci mengenai Piala ASEAN FIFA seperti format pertandingan, negara hos, tempoh kejohanan dan lain-lain tidak dikongsikan lagi setakat ini.

Namun begitu, difahamkan, formatnya akan mengikuti jejak langkah kejayaan penganjuran kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan kebangsaan dari negara-negara Arab iaitu Piala Arab FIFA.

Untuk makluman semua, edisi pertama Piala Arab anjuran FIFA berlangsung pada tahun 2021 di Qatar dan dijadikan sebagai kejohanan atau acara ujian sebelum berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2022.

Ianya disertai 16 pasukan kebangsaan negara-negara arab dari benua afrika dan asia yang layak dimana kejohanan berlangsung selama 18 hari – bermula dari 30hb November hingga 18hb Disember 2025 – di enam buah stadium.

Format pertandingannya menyaksikan 16 pasukan itu dibahagikan kepada empat kumpulan – setiap kumpulan terdiri daripada empat buat pasukan. Di peringkat kumpulan, setiap pasukan akan mengharungi tiga perlawanan dan juara serta naib juara setiap kumpulan akan meneruskan kempen ke peringkat suku akhir diikuti separuh akhir dan akhir.

Pada edisi 2021, Algeria muncul juara edisi pertama Piala Arab anjuran FIFA selepas mengalahkan Tunisia 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Al Bayt.

Edisi kedua Piala Arab FIFA ini dijadualkan berlangsung bermula 1hb hingga 18hb Disember kelak juga bertempat di Qatar serta disertai oleh 16 buah pasukan kebangsaan negara-negara arab yang layak.

Penganjuran kedua-dua edisi kejohanan itu berlangsung di luar jendela perlawanan antarabangsa FIFA sekaligus tidak mewajibkan kelab-kelab untuk melepaskan pemain-pemainnya yang dipanggil untuk menyertai pertandingan itu. 

Pengesahan penganjuran Piala ASEAN FIFA itu turut menimbulkan pertanyaan dalam kalangan peminat samada ianya akan mengambil alih kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) iaitu Kejohanan ASEAN Piala Hyundai (sebelum ini dikenali sebagai Piala Mitsubishi Electric dan Piala AFF) atau menganjurkan sebuah kejohanan yang baharu. 

Berbalik kepada MoU yang ditandatangani bersama Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, ianya merupakan kesinambungan daripada perjanjian awal dari November 2019, yang membawa kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti FIFA Football for Schools, kempen kesihatan secara bersama dan bengkel mengenai topik pendidikan dan pembangunan utama di asia tenggara.   

Sementara itu, perjanjian MoU baharu selama lima tahun pula adalah untuk memperkukuhkan kerjasama, FIFA dan ASEAN, memanfaatkan bola sepak sebagai alat berkuasa untuk perpaduan, kesihatan dan pembangunan masyarakat dengan pemfokusan terhadap lima bidang utama – integriti sukan, memanfaatkan sukan untuk pembangunan sosial dan ekonomi, memastikan pembangunan bola sepak di dalam dan luar padang, mempromosikan keterangkuman dan menyokong ketahanan terhadap perubahan iklim. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd