Akademi Bola Sepak FK Sarajevo – Tunku Mahkota Ismail Di Bosnia Dan Herzegovina

October 28, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab bola sepak yang berpangkalan di Bosnia, FK Sarajevo tampil mengumumkan akademi bola sepaknya kini dinamakan sebagai Akademi Bola Sepak FK Sarajevo – Tunku Mahkota Ismail.

Menurut kelab berkenaan, penjenamaan baharu akademi tersebut dilakukan selepas mendapat perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Keputusan ini menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan antarabangsa FK Sarajevo, yang mencerminkan visi bersama para pelabur utama, Tan Sri Vincent Tan dan Ismir Mirvic.” tulis kenyataan oleh pihak kelab pada video berdurasi satu minit dan 16 saat di Youtube.

“Menerusi kerjasama bersama DYAM Tunku Ismail, kelab meneruskan misinya untuk memodenkan serta memposisikan FK Sarajevo di peringkat global sebagai model kecemerlangan bola sepak di eropah tenggara.” tambahnya.

Pada September lalu, laporan media di Bosnia dan Herzegovina hangat memperkatakan mengenai rundingan FK Sarajevo bersama pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berlangsung selama enam bulan dan semakin hampir untuk dimuktamadkan.

Untuk makluman, FK Sarejevo merupakan juara lima kali Liga Premier Bosnia & Herzegovina dan juara lapan kali Piala Bosnia & Herzegovina termasuk edisi musim lalu. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd