Selangor FC Hilang Khidmat Sharul Nazeem ‘Afro’ Sehingga 10 Bulan
Hafiz Omar

Penghuni tangga ketujuh Liga Super pada ketika ini, Selangor FC terpaksa melupakan khidmat pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar untuk baki saingan bola sepak musim 2025-2026.
Dimaklumkan, pemain yang bakal menginjak usia 26 tahun pada 16hb November kelak memerlukan masa untuk berehat sekurang-kurangnya selama sembilan hingga sepuluh bulan.
Rehat panjang itu diperlukan oleh Sharul atau nama panggilannya, Afro, selepas menjalani pembedahan rekonstruksi anterior cruciate ligament (ACL) dan pembaikan meniskus dalam tempoh dua minggu lagi.
“Saya difahamkan beliau mengalami kecederaan ACL, beliau akan membuat pembedahan rekonstruksi, jadi dianggarkan (rehat) sembilan bulan hingga sepuluh bulan diperlukan daripada (detik) pembedahan kepada ‘return to play’,” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan bersama Gatorade, pada hari ini.
Terdahulu pihak kelab berjulukan Gergasi Merah mengesahkan Sharul mengalami kecederaan ACL dan meniskus pada lutut kiri selepas melakukan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).
Kecederaan itu menimpanya ketika turun menentang seteru setempat, Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi kelapan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Featured Image: Selangor FC