Terbuka HYLO: Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin Langkah Kanan
Hafiz Omar

Hari pertama saingan Terbuka Hylo 2025 menyaksikan dua beregu badminton lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin bermula dengan langkah kanan di pusingan 32.
Aaron-Wooi Yik yang turut diletakkan selaku pilihan pertama mencetak kemenangan ke atas beregu England yang menduduki ranking ke-277 dunia, Alex Green dan Zach Russ secara dua set berturut-turut ketika bertemu di Gelanggang 2, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Bagaimanapun, Alex-Zach memberikan tentangan yang sengit pada set pertama memaksa Aaron-Wooi Yik menamatkannya dengan skor 25-23 sebelum memenangi set kedua dengan pungutan mata 21-14.
Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin pula yang diletakkan sebagai pilihan kedua mencatatkan kemenangan ke atas beregu Scotland yang menduduki ranking ke-63 dunia, Alexander Dunn dan Adam Pringle.
Bekas beregu No.1 dunia itu turut mencetak kemenangan secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-17 dan 22-20 dalam masa 33 minit.
Hasil kemenangan itu, Aaron-Wooi Yik yang meneruskan langkah ke pusingan 16 akan bertemu beregu Republik Czech yang berada di ranking ke-65 dunia, Jiří Král dan Ondřej Král untuk merebut tempat ke suku akhir.
Manakala, Sze Fei-Izzuddin pula akan berentap menentang beregu Denmark yang berada di ranking ke-26 dunia, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.
Terdahulu, beregu badminton lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut sama memulakan kempen Terbuka HYLO dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan ke atas rakan senegara, Arif Junaidi dan Yap Roy King menerusi skor 21-16, 19-21 dan 21-16.
Pada pusingan seterusnya, Wei Chong-Kai Wun bakal berhadapan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana yang menumpaskan beregu Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.
Featured Image: Badminton Association of Thailand