Bekas Ketua Jurulatih Penang & Kelantan United Sertai Kelab Liga Super Indonesia

October 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tomas Trucha kelahiran Republik Czech yang pernah mengemudi Penang FC dan Kelantan United FC (kini dikenali sebagai Kelantan The Real Warriors FC) kembali berkhidmat di rantau asia tenggara.

Jurulatih berusia 54 tahun yang memiliki Lesen Pro UEFA hadir semula di rantau ini selepas PSM Makassar yang beraksi dalam kancah Liga Super Indonesia memancing khidmatnya.

Kelab berjulukan Kapal Pinisi itu tampil memperkenalkan Trucha sebagai ketua jurulatihnya yang baharu di Kedai Rasmi PSM Makassar pada malam tadi serta mengumumkan secara rasmi di laman sesawang dan pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Dimaklumkan, Trucha menerima tawaran PSM Makassar berikutan projeknya untuk meningkatkan prestasi pasukan dalam saingan liga serta potensi pemain-pemain mudanya.

Pada saat ini, PSM Makassar kini berada di tangga ke-14 daripada 18 kelab Liga Super selepas mengharungi lapan perlawanan musim 2025-2026.

Untuk makluman, Trucha hadir bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ketua jurulatih sebelumnya, Bernardo Tavares dari Portugal yang berpisah dengan PSM Makassar pada awal Oktober baru-baru ini.

Sebagai rekod, Trucha mula berkhidmat di asia tenggara dengan mengemudi Penang FC bermula awal Disember 2020 sebelum berhijrah mengendalikan Kelantan United FC pada Disember 2022.

Featured Image: PSM Makassar

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd