Piala Carabao: Liverpool Tersingkir Di Anfield
Hafiz Omar

Naib juara edisi lalu, Liverpool FC terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan Piala Carabao apabila tersingkir di pusingan keempat yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Lebih mendukacitakan, penyingkiran terhasil selepas anak-anak buah Arne Slot kecundang di lamannya sendiri, Anfield, berikutan tewas 0-3 di tangan Crystal Palace – kelab kesepuluh Premier League pada saat ini.
Kekalahan Liverpool itu bermula dengan Ismaila Sarr membuka jaringan pada minit ke-41 selepas menyudahkan bola yang gagal ditampan kemas oleh Joe Gomez.
Selang empat minit kemudian, Sarr sekali lagi menunjukkan ketajamannya di hadapan gawang apabila merembat masuk bola yang dihantar cantik oleh Yeremy Pino ke dalam kotak penalti.
Tatkala ketinggalan 0-2, Liverpool yang turun tanpa sebahagian besar tonggak utamanya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain susulan Amara Nallo dilayangkan kad merah oleh pengadil, Craig Pawson, pada minit ke-79.
Tidak sampai sepuluh minit kemudian, Pino menambah duka Liverpool selepas gerakan solonya ke dalam kotak penalti disudahkan dengan satu rembatan melengkung cantik mengatasi penjaga gol, Freddie Woodman menjadi Crystal Palace mendahului 3-0.
Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel bagi menamatkan permainan dan menghanguskan tiket ke suku akhir buat Liverpool.
Featured Image: Crystal Palace Football Club