Gatorade Taja Selangor FC Selama Semusim

October 30, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jenama minuman sukan yang membantu penghidratan, pemulihan tenaga dan prestasi atlet-atlet, Gatorade kini muncul sebagai penaja terbaru buat Selangor FC.

Perkembangan itu hadir selepas Gatorade dan Selangor FC mengumumkan kerjasamanya selepas menandatangani kontrak penajaan dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Selangor FC, pada Selasa.

Hasil kerjasama dan penajaan itu, jenama Gatorade diangkat sebagai Rakan Rasmi Hidrasi bagi Selangor FC selama semusim.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, kerjasama itu menyaksikan Gergasi Merah menerima suntikan kewangan yang tidak didedahkan jumlahnya serta produk barangan untuk membantu para pemainnya menghilangkan penat dan dahaga.     

Sementara itu, Gatorade pula menerima manfaat menerusi peletakan logo-logo jenamanya di jersi pemanasan badan pemain, papan iklan statik dan LED di dalam stadium, platform-platform digital dan pengaktifan media sosial serta kandungan eksklusof pemain dan hari perlawanan.   

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan penajaan pertama dan bersejarah Gatorade terhadap kelab bola sepak di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd