Walk With Al-Sultan Abdullah: The King Of Sports Bakal Berlangsung 5 Nov Di Stadium Merdeka

October 30, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Satu inisiatif diraja berteraskan gaya hidup sihat “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” dipimpin oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 5hb November 2025. 

Inisiatif yang bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dalam satu acara yang meraikan nilai kesihatan, komuniti, dan semangat kebangsaan ini dianjurkan oleh Shekhinah PR, agensi terkemuka dalam perhubungan awam sukan dan penjenamaan, dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

Acara berjalan simbolik ini akan dihadiri oleh kira-kira 150 tetamu jemputan, terdiri daripada legenda dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. 

Antara yang dijangka hadir bekas ratu terjun negara Datuk Leong Mun Yee; bekas kapten skuad hoki lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin; bekas pelari pecut negara Shanti Govindasamy; serta bekas kapten ragbi kebangsaan dan pasukan Selangor era 1970-an dan 1980-an, Jagjit Singh. 

Turut dijangka hadir adalah dua legenda bola sepak tanah air, Datuk Santokh Singh dan bekas kapten pasukan negara, Datuk Soh Chin Ann; serta legenda sukan badminton negara, Datuk Rashid Sidek. 

Acara ini disokong oleh Bata, jenama yang dikenali ramai telah menemani rakyat Malaysia selama 95 tahun selain daripada FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika, dan Prince Court Medical Centre.

Objektif utama acara ini ialah meraikan warisan sukan negara dengan mengiktiraf jasa atlet yang telah membentuk sejarah Malaysia, menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki yang inklusif dan mudah disertai, serta memperkukuh hubungan antara institusi diraja bersama legenda sukan negara. 

“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports bukan sekadar acara, tetapi satu inisiatif yang meraikan perpaduan, kesihatan dan warisan melalui aktiviti yang paling sederhana,” kata Dato’ Christopher Raj, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shekhinah PR. 

Beliau menambah bahawa acara ini akan mengukuhkan peranan sukan sebagai platform perpaduan dan kesejahteraan, di mana rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan warisan serta nilai bersama. 

Keberangkatan Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah ke acara ini menzahirkan pengiktirafan berterusan terhadap peranan sukan sebagai tonggak identiti, kebanggaan dan perpaduan negara. 

“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” dijangka menjadi satu acara yang memperingati sejarah negara, semangat kesukanan dan perpaduan nasional sekaligus mengingatkan kita bahawa langkah paling bermakna ialah langkah yang diambil bersama-sama.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd