5 Wakil Malaysia Bergelar Juara Di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Indonesia 2025
Hafiz Omar

Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Indonesia 2025 yang berlangsung di Solo pada Sabtu menutup tirainya dengan lima wakil Malaysia bergelar juara.
Pemenang pingat emas Paralimpik sebanyak dua kali, Cheah Liek Hou membawa pulang dua kejuaraan daripada saingan ini apabila mencetak kemenangan bagi acara perseorangan lelaki dan beregu.
Dalam acara perseorangan lelaki, kategori SU5, Liek mencetak kemenangan ke atas wakil Perancis, Meril Loquette menerusi skor 21-17 dan 21-10. Sementara itu, acara beregu lelaki, kategori SU5, Liek Hou yang membentuk gandingan bersama Ruthick Ragupathi dari India bergelar juara setelah mengungguli carta dengan mencetak empat kemenangan berturut-turut daripada empat perlawanan.
Turut mencuri tumpuan, Muhammad Ikhwan Ramli yang membawa pulang tiga kejuaraan. Pertamanya, Ikhwan meraih kemenangan dalam acara perseorangan lelaki WH1 dengan menumpaskan pemain India, Shashank Kumar dalam perlawanan akhir menerusi skor 21-15 dan 21-16.
Selepas itu, Ikhwan yang membentuk gandingan bersama Md Noor Azwaan Noorlan dalam beregu lelaki WH1 membawa pulang satu lagi kejuaraan dengan menundukkan wakil India, Prem Kumar Ale dan Abu Hubaida menerusi skor 21-18 dan 21-18.
Ikhwan melengkapkan hari perlawanan akhir di kejohanan itu dengan penuh gemilang apabila merangkul kejuaraan ketiga bersama Pilar Jauregui dari Peru dengan mencetak kemenangan ke atas wakil India, Prem Kumar Ale dan Alphia James menerusi skor 21-9 dan 21-6.
Featured Image: Facebook Cheah Liek Hou 謝儮好