Tolak Rayuan, Kekal Hukuman, FAM Terkejut!

November 4, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan pemalsuan dan penyelewengan dokumentasi melibatkan tujuh pemain ‘berketurunan’ Malaysia ditolak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Keputusan menolak rayuan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA dan perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh badan induk bola sepak dunia menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat malam Isnin.

“Setelah meneliti penyerahan dan mengadakan pendengaran, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan tersebut, dan mengesahkan sepenuhnya hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh orang pemain.” tulis kenyataan oleh FIFA.

Hukuman itu sepertimana diumumkan pada 26hb September lalu iaitu FAM diarahkan membayar sebanyak CHF350,000 (~RM1.85 juta) kepada FIFA, ketujuh-tujuh pemain tersebut dikenakan denda sebanyak CHF2,000 (~RM10,500) setiap seorang dan digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.   

FIFA turut memaklumkan FAM dan tujuh pemain terbabit telah diberitahu mengenai keputusan ini dan mereka mempunyai sepuluh hari untuk memohon keputusan bersebab, selepas menerima keputusan ini.

Selain itu, pihak terbabit mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration of Sports, CAS). 

Tidak lama selepas tersiarnya keputusan itu, FAM tampil mengeluarkan kenyataan memaklumkan menerima keputusan itu namun meluahkan terkejut dengan penolakan rayuan oleh FIFA itu. 

“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.” tulis kenyataan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Kenyataan itu turut memaklumkan FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke CAS.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd