Ranking BWF: Pei Kee-Mei Xing Kembali Dalam Kelompok 20 Dunia
Hafiz Omar

Beregu badminton wanita No.2 negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing kembali dalam kelompok 20 terbaik dunia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia.
Pasangan pemain berusia 23 dan 28 tahun masing-masing itu memasuki kelompok itu selepas merekodkan peningkatan dua anak tangga dan ianya dicetuskan oleh pertambahan 5,040 mata hasil mara ke peringkat suku akhir Terbuka HYLO 2025, minggu lalu.
Pada ketika ini, Pei Kee-Mei Xing mengumpul 46,070 mata secara keseluruhan daripada 10 kejohanan terbaik disertainya sepanjang 52 minggu lalu.
Sementara itu, tinjauan terhadap Ranking Dunia itu turut menyaksikan Ong Xin Yee dan Carmen Ting mencatatkan kenaikan satu anak tangga selepas mara ke peringkat yang sama di Terbuka HYLO.
Kini, mereka berada di ranking ke-33 dunia dan mengumpul 36,590 mata secara keseluruhan.
Manakala kedudukan beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan kekal di tangga kedua dunia dengan kutipan 91,316 mata.
Featured Image: BAM