Kelayakan Piala Dunia: England Menang 100%, Jaring 22 Gol, Tanpa Bolos

November 17, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad kebangsaan England bukan sahaja telah mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2026 dengan lebih awal bahkan turut mengakhiri kempen kelayakan itu dengan rekod cemerlang serta bergaya.

England bimbingan Thomas Tuchel itu menutup kempen kelayakannya dengan bertemu Albania di Arena Kombetare pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dalam aksi tersebut, England berjulukan Tiga Singa itu merekodkan kemenangan 2-0 hasil jaringan berganda penyerang prolifiknya, Harry Kane pada minit ke-74 dan ke-82.

Jaringan itu turut membolehkan Kane, 32 tahun, mengumpul 78 gol di pentas antarabangsa bersama England – melebihi rekod 77 jaringan yang dilakukan oleh pemain berstatus legenda dunia iaitu Pele dari Brazil. 

Peringkat kelayakan ini menyaksikan England mengungguli Kumpulan K dengan rekod lapan kemenangan daripada lapan perlawanan, meledak 22 gol secara keseluruhan selain gawangnya kebal tanpa sebarang bolos.

Antara pasukan yang pernah merekodkan kemenangan 100% pada peringkat kelayakan di eropah ialah Jerman (kelayakan Piala Dunia 2018), Sepanyol dan Belanda (kelayakan Piala Dunia 2010) dan Jerman Barat (kelayakan Piala Dunia 1982).

Featured Image: England Football Team Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd