Pemenang Pingat Emas, Gangsa Piala Dunia Boling Padang Terima Durian Runtuh

November 17, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Atlet boling padang negara yang meraih pingat emas dan gangsa di Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 baru-baru ini menerima insentif berjumlah RM50,000.

Insentif itu diberikan oleh syarikat korporat, SD Guthrie Berhad (Guthrie) merangkap penaja Pakej Emas kejohanan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan atlet boling padang negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Atlet-atlet negara yang mengutip pingat di kejohanan berkenaan ialah Emma Firyana Saroji (emas, perseorangan wanita) dan Nurul Alyani Jamil (gangsa, perseorangan wanita), Izzat Shameer Dzulkeple (gangsa, perseorangan lelaki) dan Jariah Zakaria (gangsa, perseorangan para wanita).

Penyampaian insentif itu disempurnakan oleh Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu merangkap Penaung DiRaja Bowls Malaysia.

Dimaklumkan insentif ini diberikan Guthrie susulan daripada tajaan berjumlah RM100,000 buat pasukan boling padang negara yang disalurkan menerusi cabang filantropi syarikat terbabit. 

Pada edisi pertama kejohanan tersebut yang berlangsung dari 3hb hingga 8hb November lalu, skuad Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan dengan memungut 117 mata mengatasi pencabar terdekat, Australia yang mengumpul 111 mata.

Selain Malaysia selaku hos serta Australia, kejohanan itu turut disertai Kanada, England, Hong Kong China, India, Ireland, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Wales.

Untuk makluman, setiap negara diwakili enam atlet di dalam kategori terbuka lelaki, kategori terbuka wanita serta kategori para lelaki dan para wanita.

Featured Image: Bowls Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd