Singapura Raih Tiket Ke Piala Asia 2027 – Kembali Selepas 43 Tahun

November 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak negara jiran tetangga yang menduduki ranking ke-155 dunia, Singapura menjadi pasukan terbaru yang mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia AFC yang akan berlangsung di Arab Saudi pada tahun 2027.

Pengesahan itu hadir selepas skuad bimbingan jurulatih sementara, Gavin Lee merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong di gelanggang lawan iaitu Stadium Kai Tak pada aksi kelima peringkat Kumpulan C.

Kemenangan itu hasil kebangkitan Singapura menerusi jaringan Shawal Anuar dan Ilhan Fandi pada separuh masa kedua selepas ketinggalan 0-1 di tangan Hong Kong berikutan jaringan awal oleh Matt Orr.

Kemenangan itu membolehkan Singapura mengumpul 11 mata daripada lima perlawanan dan mengungguli Kumpulan C sementara Hong Kong di tangga kedua dengan lapan mata.

Mereka mempunyai satu lagi baki perlawanan peringkat Kumpulan C yang perlu dihadapi – dijadualkan berlangsung pada Mac nanti.

Bagaimanapun, Singapura telah disahkan layak saingan Piala Asia secara matematik oleh penganjur berikutan kelebihan daripada segi “head-to-head” dengan Hong Kong.

Ini bermakna, Singapura tetap berada di kedudukan pertama dalam Kumpulan C sekiranya perlawanan terakhirnya bertemu Bangladesh berakhir dengan kekalahan sementara Hong Kong menang aksi terakhirnya ke atas India.

Sebagai rekod, kali terakhir Singapura beraksi di pentas Piala Asia adalah pada tahun 1984 ketika menjadi tuan rumah. Bagaimanapun, kempen skuad berjulukan The Lions di kejohanan itu berakhir setakat peringkat kumpulan sahaja.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd