Ranking FIFA: Malaysia Duduk Di Tangga 116 Dunia
Hafiz Omar

Kedudukan Malaysia dalam Ranking Dunia terus meningkat dan kini berada di tangga ke-116 dunia selepas Persekutuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA) melakukan kemaskininya pada Rabu.
Kemaskini itu memperlihatkan skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya mencetak peningkatan dua anak tangga berbanding kedudukan yang dihuninya pada kemaskini terdahulu – 17hb Oktober lalu.
Menyumbang kepada peningkatan itu adalah pertambahan sebanyak 6.88 mata hasil daripada kemenangan 1-0 ke atas Nepal pada aksi keempat peringkat Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Selasa lalu.
Kemenangan hasil jaringan oleh Faisal Halim itu membolehkan Malaysia bimbingan Peter Cklamovski mengumpul 1,168.41 mata pada ketika ini.
Bagaimanapun, peningkatan itu masih menempatkan Malaysia di tangga ketiga dalam kalangan pasukan-pasukan dari rantau asia tenggara.
Di posisi terbaik ialah Thailand (ranking 95) diikuti dengan Vietnam (110) di posisi kedua.
Di tempat keempat ialah Indonesia (122) dituruti Filipina (136), Singapura (151), Myanmar (163), Kemboja (179), Laos (187), Brunei (189) dan Timor Leste (198).
FIFA menjadualkan kemaskini terakhirnya bagi tahun 2025 pada 23hb Disember.